KOTA BHARU – Seorang lelaki berusia 55 tahun cedera parah di kepala akibat ditetak pisau pemotong sayur oleh isterinya gara-gara mahu berpoligami.

Akibatnya, lelaki malang itu menerima lebih 15 jahitan dalam satu kejadian di Kampung Manek Urai Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 1 petang itu, mangsa ditetak di bahagian kepala, dahi kanan dan lengan kanan yang menyebabkan kecederaan.

Sejak petang tadi, gambar kepala lelaki yang cedera itu tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi daripada netizen.

Menurut satu laporan media, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Zulkarnain Ismail Al Haj hari ini berkata, mangsa ditetak oleh isterinya yang berusia 56 tahun selepas menyuarakan hasrat mahu berkahwin buat kali kedua.

“Ketika kejadian, mangsa sedang baring sebelum isterinya bertindak mengambil pisau pemotong sayur di dapur dan terus menetak suami.

“Terkejut dengan tindakan isteri, mangsa terus melarikan diri keluar rumah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, tidak ada sebarang laporan polis dibuat dan kedua-dua mereka kini sudah berbaik.- MalaysiaGazette