Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai telah menemui pengurusan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), Tan Sri Syed Zainol Anwar pada minggu lalu berhubung  Malindo Air menjelaskan cukai lapangan terbang berjumlah RM70 juta.

Tiong Lai berkata, beliau akan mengambil langkah segera untuk memastikan sebarang cukai dibayar tepat pada masanya.

“Saya rasa MAHB akan tangani isu ini,” katanya ketika diminta mengulas terhadap kegagalan syarikat penerbangan itu menjelaskan cukai lapangan terbang selepas majlis perasmian Lukisan Dinding Tapak Tangan Patriotik di Jalan Genting Klang di sini.

Lukisan mural sepanjang 600 meter itu akan mengumpul 60,000 tapak tangan sebagai sokongan sambutan ulangtahun kemerdekaan ke-60 dan hari Malaysia.

Ditanya mengenai gesaan aktivis Tunku Abdul Aziz Abdul Ibrahim untuk menyerahkan kes berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan polis, Tiong Lai berkata, sesiapa sahaja boleh mengemukakan bukti kepada pihak berkenaan, termasuk pihaknya.

“Mereka perlu dedahkan apa yang terjadi. Buat masa sekarang, pihak kami cuma melihat isu ini dengan masalah kelewatan pembayaran cukai lapangan terbang,” tambah beliau.

Ditanya mengenai desakan sesetengah pihak yang menyarankan operasi Malindo Air dipindahkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, (klia2), Tiong Lai memberitahu, perkara tersebut bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, sebaliknya MAHB perlu menentukannya. – MalaysiaGazette