Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Putrajaya hari ini mengumumkan tidak berminat untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu Felda dan Felda Global Venture (FGV).

Perkara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.

Kit Siang yang juga Penasihat DAP dalam satu pertanyaan lisan Dewan Rakyat hari ini bertanya sama ada kerajaan akan menubuhkan RCI untuk menyiasat secara terperinci mengenai kerugian berpuluh bilion ringgit di Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) dan FELDA.

Justeru Azalina yang menjawab bagi pihak Perdana Menteri berkata, tiada keperluan untuk kerajaan berbuat demikian pada masa ini.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kerajaan tidak berhasrat untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi isu FELDA dan FGV memandangkan belum ada keperluan buat masa ini dan tindakan perlu diambil untuk menangani isu-isu yang berbangkit,” demikian tulis Azalina.

Syarikat perladangan itu baru-baru ini menjadi perhatian umum apabila terpalit dengan kontroversi ekoran penahanan dua individu disyaki terbabit dalam penilaian harta dan harga berhubung pembelian sebuah hotel 4 bintang di London oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Hasil siasatan mendapati, mereka disyaki memanipulasi harga hotel itu sehingga menyebabkan FIC perlu membayar lebih puluhan juta ringgit.

Setakat ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah merakam keterangan lebih daripada 10 saksi.

Pada 17 Julai lalu, SPRM mengambil tiga kotak dokumen dari pejabat FIC berhubung pembelian hotel di London itu. -MalaysiaGazette