Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Perjumpaan antara Ahli Parlimen Pas dengan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, Isnin lalu menjadi topik hangat di Dewan Rakyat.

Ia mula disentuh Ahli Parlimen Segambut daripada DAP, Lim Lip Eng sejurus selepas selesai sesi soal jawab hari ini.

Beliau berkata, mengapa Pas mengadakan pertemuan dengan Arul Kanda di luar Dewan Rakyat sedangkan perkara itu tidak boleh disentuh oleh Ahli Parlimen di dalam Dewan.

“Tan Sri Speaker telah putuskan tentang soalan mengenai 1MDB adalah subjudis dan tidak boleh dibawa ke dewan, tetapi kelmarin ada satu pertemuan antara CEO 1MDB dengan Pas berhubung 1MDB. Saya nak tanya samada tindakan CEO itu adalah satu tindakan yang merendahkan kewibawaan Speaker,” soal beliau kepada Dewan Rakyat.

Menurut Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, apa yang berlaku di luar dewan adalah di luar bidang kuasa Speaker dan perkara itu tidak perlu dibahaskan.

“Soal 1MDB beri taklimat itu di luar jangkauan Parlimen. Yang diputuskan dalam Dewan terpakai di dalam Dewan ini. Di luar tidak terpakai oleh Dewan,” jelas beliau.

Lalu Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan bingkas bangkit mencabar DAP untuk menjemput Aril Kanda berbuat perkara sama kepada DAP.

“Untuk maklumat Dewan, enam soalan daripada Ahli Parlimen Pas telah ditolak. Jadi atas dasar itu di luar Dewan ini kita minta penjelasan daripada 1MDB terus daripada Presiden. Nasib tidak baik kerana dia setuju, saya cadangkan DAP atau parti lain buat jemputan kepada 1MDB untuk perkara sama.

“Jangan buat tuduhan melulu kepada Pas. Itu tidak profesional kalau peguam cakap begitu,” katanya merujuk kepada tuduhan DAP di dalam Dewan.

Isnin lalu, sidang perbincangan meja bulat melibatkan Ahli Parlimen Pas dan delegasi dari pasukan pengurusan 1MDB yang diketuai Arul Kanda telah dibuat.

Daripada pertemuan itu, Pas berpuashati dengan pelan rasionalisasi 1MDB tetapi tetap mahu suruhanjaya diraja (RCI)  ditubuhkan menyiasat kemelut yang berlaku.

Ini menimbulkan rasa marah di kalangan Ahli Parlimen pembangkang antaranya DAP yang telah lama mahu penjelasan daripada 1MDB.

“Saya cabar DAP jemput Aril Kanda untuk buat penjelasan sama seperti yang dibuat Pas,” cabar Takiyuddin kepada DAP. – MalaysiaGazette