Emirates Airline menyambung kontrak penajaan Piala FA Emirates di England sehingga tahun 2021. - Daily Mail

ENGLAND – Emirates telah menyambung penajaan Piala FA dengan menandatangani kontrak tiga tahun bersama Persatuan Bola Srpak England hari ini.

Piala FA telah dinamakan sebagai Piala FA Emirates sejak musim 2015-2016 lalu.

Emirates telah tampil menaja piala berprestij England itu setelah Syarikat Budweiser menamatkan penajaannya bersama persatuan itu selepas tiga tahun.

Perlawanan kalah mati yang tertua di dunia itu akan terus menggunakan nama Piala FA Emirates sehingga 2021 menerusi penyambungan kontrak itu dengan Emirates Airline.

Syarikat penerbangan yang berpusat di Dubai itu pernah membawa jelajah piala itu ke Afrika Selatan sebagai mempromosikan sukan bola sepak itu.

Pengarah Komersial Kumpulan FA, Mark Bullingham berkata:” kerjasama dengan sebuah jenama global yang ikon dan kukuh membantu kami untuk memastikan perlawanan bola sepak ini terus diakses oleh peminat seluruh dunia.

“Sokongan Emirates musim lalu menyaksikan kejuaraan Piala FA dapat disampaikan kepada lebih 912 juta peminat bola serata dunia.

Kerjasama rakan kongsi ini juga akan membolehkan kami meneruskan pelaburan dalam bola sepak pada semua peringkat,” katanya semalam.

Presiden Emirates Airlines, Sir Tim Clark menambah:” kami bangga untuk meneruskan peranan kami sebagai penaja pertama kejuaraan berprestij dan bersejarah ini.

“Semangat kejohanan ini menyatukan kelab kerdil dan kelab gergasi dalam Liga Perdana Inggeris ( EPL) bersemuka.

“Kami terus mengharapkan kerjasama di masa hadapan dan membantu untuk menghubungkan para peminat bola di serata dunia untuk sukan yang disanjungi tinggi,” ujarnya.

Pusingan pertama Piala FA Emirates dijadualkan bermula pada 4 November ini. – MalaysiaGazette