Home Ekonomi Kontrak hadapan ringgit SGX tidak patuhi FEA

Kontrak hadapan ringgit SGX tidak patuhi FEA

KUALA LUMPUR – Pengenalan kontrak hadapan ringgit di Singapore Exchange (SGX) dan Intercontinental Exchange (ICE) atau ICE Futures Singapura baru-baru ini adalah tidak selaras dengan dasar dan peraturan pentadbiran pertukaran asing Malaysia (FEA).

Ringgit Malaysia ialah mata wang yang tidak diurusniagakan pada peringkat antarabangsa, oleh itu perdagangan luar pesisir bagi ringgit, dalam apa jua bentuk sama ada sebagai kontrak hadapan tanpa serahan yang diniagakan di luar pusat kewangan luar pesisir atau sebagai kontrak hadapan, opsyen dan kontrak derivatif lain di bursa luar Malaysia merupakan pelanggaran terhadap dasar Malaysia.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataannya mengingatkan semua peserta pasaran supaya mematuhi peraturan Pentadbiran Petukaran Asing (FEA) yang sedia ada.

Pelanggaran terhadap FEA merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Tindakan undang-undang yang berkenaan akan diambil terhadap mana-mana individu yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang yang ada.

Peserta asing mempunyai akses kepada pasaran pertukaran asing dalam negeri untuk memenuhi keperluan kewangan mereka, sama ada secara langsung dengan institusi kewangan tempatan berlesen atau melalui pejabat luar negara yang dilantik. – MalaysiaGazette