Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Wira Othman Aziz hadir mempengerusikan Budget 2018 Focus Group Meeting : Addressing The Needs of B40 And M40 di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 11 OGOS 2017

PUTRAJAYA – Program latihan berfokus dalam kalangan golongan muda bakal menjadi salah satu keutamaan dalam Bajet 2018 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz, berkata, ketika ini terdapat golongan itu yang memasuki kolej latihan milik kerajaan bukan kerana minat dan mengikut jiwa mereka.

Beliau berkata, kerajaan kini mahu pelaburan yang dikeluarkan untuk kolej latihan itu berbaloi dengan melahirkan graduan yang dapat mengharungi cabaran globalisasi.

“Kolej macam Kolej Komuniti, ILP dan Giat Mara yang disediakan kerajaan jangan sekadar bangga bila mencapai sasaran pelatih yang disasarkan tapi pelatih yang dilahirkan tidak sesuai dengan minat dan kesungguhan.

“Maksudnya mereka patut buat proses pemilihan yang betul daripada segi sikap agar bantu kehidupan pelatih selepas belajar. Kalau tidak nanti, lepas habis belajar, tidak minat kerja dengan bidang yang ambil, jadi masalah tidak akan selesai.

“Jadi kerajaan ingin menekankan program latihan berfokus dan perbelanjaan yang dikeluarkan kerajaan berbaloi,” katanya.

Beliau demikian kepada pihak media selepas Mesyuarat Kumpulan Sasaran Bajet 2018: Penekanan KeperluanB40 dan M40 di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Othman menambah, program latihan berfokus mampu mengurangkan kadar pengangguran apabila golongan melakukan kerja yang memenuhi minat dan jiwa mereka.

“Yang masalah apabila masuk kolej swasta dan pinjam PTPTN. Tetapi lepas habis belajar tidak minat dengan bidang yang belajar,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jerlun itu memberitahu, kerajaan sentiasa mendengar keluh kesah rakyat memfokuskan kepada kebajikan bagi golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) seperti pemilikan rumah.

Jelasnya, kerajaan juga mahu golongan itu di kalangan ibu bapa mempunyai iltizam agar anak-anak mereka menjadi lebih baik daripada mereka dengan menekankan kepentingan pendidikan. – MalaysiaGazette