Ousmane Dembele didenda dan digantung 7 hari kerana ponteng sesi latihan pasukan semalam.

JERMAN – Borussia Dortmund telah menolak tawaran Barcelona untuk penyerang Ousmane Dembele semalam.

Kelab Bundesliga itu juga telah menggantung pemain berusia 20 tahun itu kerana gagal menghadirkan diri ke latihan pada Khamis.

Pemain antarabangsa Perancis itu disenaraikan sebagai mengisi kekosongan yang ditinggalkan Neymar di Nou Camp.

Namun Borussia menolak tawaran Barcelona.

Dembele telah didenda dan digantung daripada menyertai sesi latihan pasukan sehingga hujung minggu hadapan.

Pengurus kelab Peter Bosz mengesahkan Dembela tidak akan menyertai latihan pada Khamis.

Kelab itu mengeluarkan kenyataan menjelaskan mengenai situasi pemain itu yang dikaitkan dengan penghijrahan ke La Liga Sepanyol.

“Borussia Dortmund telah mengadakan perbincangan bersama Barcelona berkenaan peluang pemindahan Dembele ke Barcelona.

Semasa mesyuarat itu, wakil FC Barcelona mengemukakan bidaan yang tidak relevan dengan kebolehan yang dimiliki pemain kami.

“Bidaan Barcelona juga tidak relevan dengan pasaran ekonomi semasa di Eropah dan ditolak.

“Oleh kerana tiada sebarang tawaran terbaharu dari Barcelona, kelab yakin tiada pemindahan pemain ke Barcelona selepas ini,” jelas kenyataan kelab itu.

Dalam kenyataan kedua, kelab itu menyatakan tentang tindakan Dembele ponteng latihan tanpa kebenaran dan didenda serta digantung Sabtu minggu depan.

“Ousmane Dembela terlepas latihan hari ini(Khamis) tanpa cuti pelepasan dan tindakan telah diambil keatasnya.

“Kelab gagal menghubungi Dembele selepas tidak muncul dalam latihan, kami tak pasti dia di mana sekarang,” katanya.- MalaysiaGazette