Home Nasional Mahasiswa mesti bersama SPRM perangi rasuah

Mahasiswa mesti bersama SPRM perangi rasuah

Dzulkifli Ahmad

KUALA LUMPUR – Mahasiswa perlu memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, untuk menjadi ejen perubahan, golongan tersebut perlu mempunyai ilmu dan mampu berfikir secara matang serta efektif dalam gerak kerja mereka.

“Apabila SPRM diserang dan diugut, golongan anak muda mahasiswa perlu teguh berdiri bersama-sama kami untuk menggembleng tenaga, mengerah keringat dan berkongsi kudrat bagi menentang suara-suara munafik yang mengkritik SPRM.

“Inilah yang kita mahukan dan inilah yang kita dambakan daripada golongan muda mahasiswa bersama-sama SPRM untuk berjihad memerangi rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Perhimpunan Mahasiswa Anak Muda Memerangi Rasuah Dan Salah Guna Kuasa (PEMARAH) 2017 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Negeri Sembilan di sini hari ini.

Tambah Dzulkifli, mahasiswa perlu ikhlas dan tidak jemu untuk turun ke padang bagi menjelajah dan mendidik jiwa teman-teman seusia dan masyarakat agar tiada yang rebah dek bisikan dan godaan rasuah serta wang ringgit.

“Jika mahasiswa benar-benar ingin melihat kemungkaran dan kebobrokan rasuah ini diperangi habis-habisan serta dilenyapkan, maka sambutlah cabaran saya untuk berdiri bersama SPRM untuk gempur dan perangi bersama kemungkaran rasuah dan salah guna kuasa,” ujar beliau. – MalaysiaGazette