Phee Boon Poh ketika dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi di sini mendapati penahanan itu bagi membantu siasatan operasi kilang haram habuk kayu berkenaan bertentangan dengan Seksyen 117(5) Kanun Prosedur Jenayah.

PULAU PINANG – Meskipun sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung operasi kilang haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti, di sini, Phee Boon Poh bertegas enggan melepaskan jawatan sebagai Exco Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Boon Poh berkata, beliau akan meneruskan tugasnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri seperti biasa serta sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu.

“Penahanan ini tidak akan mematahkan semangat saya untuk terus menjadi pemimpin di negeri ini, malah saya akan menjalankan tugas dengan lebih baik selepas ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas dibebaskan daripada tahanan reman SPRM selama lima hari bersama-sama dua pemilik kilang haram berusia 37 dan 70 tahun.

Mereka dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi di sini mendapati penahanan itu bagi membantu siasatan operasi kilang haram habuk kayu berkenaan bertentangan dengan Seksyen 117(5) Kanun Prosedur Jenayah.

Jumaat lalu, mereka ditahan SPRM ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat suruhanjaya berkenaan selepas SPRM menyerbu kilang tersebut yang beroperasi tanpa lesen di atas tanah pertanian sejak 10 tahun lalu.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Lim Guan Eng turut membuat keputusan tidak melepaskan jawatannya meskipun sedang dibicarakan di mahkamah atas dua tuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran. – MalaysiaGazette

Comments are closed.