Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos (dua kanan) bersama Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Armand Azha (dua kiri) menunjukkan poster Nothing To Hide 0.3 yang akan diadakan tidak lama lagi pada sidang media ekoran dari insiden kekecohan yang berlaku pada Program Nothing To Hide 2.0 di Pejabat Gerakan NGO Malaysia, Ampang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 14 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia (GNGMM) akan mengadakan Nothing To Hide 3 tetapi tidak akan menjemput Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Datuk Seri Jamal Yunos.

Jamal yang juga pengerusi NGO tersebut berkata, mereka akan mengadakan dialog tersebut pada September depan dan akan menjemput tiga pemimpin utama pembangkang iaitu Lim Guan Eng, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kami ingin maklumkan bahawa Gabungan NGO akan mengadakan satu dialog Nothing To Hide 3 pada bulan September nanti.

“Kami akan jemput Guan Eng, Kit Siang dan Azmin Ali,” kata beliau semasa sidang media di Ampang hari ini.

Jamal merancang untuk mengadakan dialog tersebut di Chow Kit dan tarikh serta masa akan diumumkan kemudiaan.

Apabila ditanya mengapa tidak menjemput Dr Mahathir, Jamal menjelaskan bimbang akan berulang insiden kekecohan seperti semalam sekiranya mereka mengajak bekas perdana menteri itu dalam dialog itu nanti.

“Saya bimbang kalau dijemput Dr Mahathir, insiden kekecohan semalam akan berulang.

“Kami jemput mereka bertiga ini kerana merasakan mereka ini lebih sopan sedikit berbanding Dr Mahathir,” katanya.

Jelas Jamal, jemputan dibuat kepada Guan Eng dan Kit Siang bertujuan untuk mendapatkan penjelasan mengenai asal-usul pemimpin DAP tersebut selepas timbul tanda tanya status kelahiran mereka berdua.

“Persoalan kami ingin ajukan kepada Kit Siang adalah tentang identiti beliau.

“Dari mana asal usul Kit Siang yang kita lihat banyak dari media sosial bertanya dan dia belum menjawab lagi.

“Adakah dia datang dari China naik tongkang ke Malaysia. Sama juga dengan anaknya Guan Eng, kami juga mahu tanya benda sama,” katanya.

Mengenai jemputan kepada Azmin, Jamal mahu mendesak Menteri Besar Selangor itu mendedahkan sama ada semua janji dan manifesto yang dibuat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu sudah ditunaikan atau belum lagi.

Jamal juga memberi jaminan Nothing To Hide 3 tidak akan berlaku insiden kekecohan sama seperti yang berlaku semalam.

“Saya jamin tidak akan ada kekecohan seperti semalam,” ujarnya.

Dalam kejadian semalam, forum anjuran PPBM kecoh apabila hadirin yang tidak dikenali bertindak membaling kerusi dan botol air ke arah pentas ketika Dr Mahathir sedang menjawab soalan hadirin.

Kekecohan di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam itu tercetus apabila individu berkenaan tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Dr Mahathir bersabit peristiwa Memali ketika beliau menjadi Perdana Menteri. – MalaysiaGazette