Bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (tengah) diiringi oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir di mahkamah berhubung pembelian dua hotel Felda Investment Corporation (FIC) di Mahkamah Majistret, Istana Kehakiman Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 16 OGOS 2017.

PUTRAJAYA – Bekas Pengerusi  Felda Global Ventures Holdings Behad (FGV) , Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad hari ini telah direman selama lima hari untuk membantu siasatan kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukan dalam pembelian pembelian sebuah hotel di London pada 2014 dan 2015 oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya, Datuk Zainal Abidin Kamarudin sehingga 20 Ogos ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkannya disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.

Mohd. Isa, 68, tiba di Mahkamah Putrajaya pukul 9.08 pagi dengan memakai pakaian lokap SPRM berwarna oren dan tangan tidak bergari.

Isteri, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid (tengah) bersama anak-anaknya dan ahli keluarga menunggu ketibaan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di mahkamah berhubung pembelian dua hotel Felda Investment Corporation (FIC) di Mahkamah Majistret, Istana Kehakiman Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 16 OGOS 2017.

Bekas menteri kabinet itu ditahan semalam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya memberi keterangan pukul 2.40 petang.

Malam tadi, SPRM turut mengesahkan telah menjalankan pemeriksaan di kediaman Mohd. Isa di Selangor.

Sebelum ini, bekas pegawai khasnya  ketika menjadi Pengerusi Felda, Zahid Md Arip turut direman selama lima hari berhubung isu sama.

FIC ialah anak syarikat Felda yang terlibat dalam aktiviti perniagaan bukan perladangan.

SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian sebuah hotel di Kensington, London antara 2013 dan 2015 oleh FIC, dipercayai harga yang dibayar jauh lebih tinggi berbanding harga asal hingga menyebabkan anak syarikat FELDA itu mengalami kerugian jutaan ringgit.

FIC dilaporkan membeli sebuah hotel empat bintang di Kensington, London pada STG60 juta (RM330 juta) pada 16 Disember 2014.

SPRM juga dilaporkan memulakan siasatan ke atas pembelian hotel di Kuching, Sarawak susulan maklumat yang diterima oleh pasukan penyiasat ketika menjalankan siasatan terhadap pembelian hotel di London oleh FIC sebelum ini.

Sementara itu, pada tahun 2005, Mohd. Isa yang juga bekas Naib Presiden UMNO itu pernah mencetuskan kontroversi apabila lembaga disiplin parti itu menggantung keahliannya selama tiga tahun berhubung amalan politik wang dalam Perhimpunan Agung UMNO 2004 selepas menangi jawatan naib presiden.

Beliau bersalah terhadap lima daripada sembilan pertuduhan politik wang. – MalaysiaGazette