Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu bercakap kepada media pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Terima/Serah Tugas Jawatan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia berdepan sebarang bentuk ancaman termasuk keganasan menjelang sambutan Hari Kemerdekaan dan Sukan SEA KL2017.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kekuatan anggota sedia ada mencukupi untuk menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang bulan kemerdekaan.

Beliau diminta mengulas mengenai ancaman pengganas yang didakwa menyasarkan negeri Perak pada hari sambutan kemerdekaan ke-60 kali ini.

“Polis sudah bersiap sedia untuk mematahkan apa jua bentuk ancaman baik sepanjang temasya sukan SEA KL2017 atau sambutan kemerdekaan nanti.

“Kita sedia maklum ancaman yang dilontarkan kumpulan pengganas itu.

“Tetapi saya ingin menegaskan polis sudah bersedia untuk ancaman itu bagi menjamin keselamatan rakyat dan negara,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama timbalannya, Datuk Seri Rashid Ibrahim telah memakaikan pangkat kepada pegawai kanan polis bersempena Kenaikan Pangkat Pegawai Kanan di Mess Pegawai Kanan.

Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, ancaman kumpulan militan Daesh antara pelbagai kes yang ditangani oleh polis di negeri itu.

Bagaimanapun katanya, PDRM tidak mendapat ancaman terbuka daripada pihak tersebut namun hasil penyiasatan membuktikan ada  ancaman memang benar.

“Kita menasihati para pegawai PDRM termasuk Polis Bantuan untuk sama-sama membantu agar ancaman Daesh tidak mengganggu hari kemerdekaan kita,” katanya.

Khalid berkata, polis tidak ada masalah memastikan orang ramai berkumpul secara aman dan menyambut kemerdekaan tidak lama lagi.

“Insya Allah…sebarang kemungkinan polis sedia menanganinya. Buat masa ini bilangan anggota dan pegawai mencukupi dan akan ditambah jika perlu,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette