Jumlah rakyat Malaysia yang menderita akibat penyakit buah pinggang kronik meningkat. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Bank Negara akan mengeluarkan rangka kerja bagi mengurangkan kadar inflasi insurans perubatan yang ketika ini berada pada paras 12 peratus, secepat mungkin.

Gabenor, Datuk Muhammad Ibrahim berkata, kadat inflasi semasa adalah agak tinggi dan seterusnya memerlukan langkah-langkah perlu untuk mengatasi isu tersebut.

Katanya, peningkatan tuntutan perubatan menyebabkan bertambahnya tekanan terhadap premium insurans perubatan.

“Secara purata, tuntutan insurans perubatan meningkat 14 peratus setahun,” katanya semasa mengumumkan prestasi ekonomi negara suku kedua di sini hari ini.

Jumlah tuntutan bersih yang dibayar kepada pemegang polisi meningkat kepada RM4.9 bilion pada 2016 berbanding RM4.5 bilion pada 2015, didorong oleh permintaan yang lebih baik dalam penjagaan kesihatan, populasi yang semakin berusia dan peningatan penyakit kronik dan gaya hidup.

Tambah Muhammad, peningkatan kos ubat dan rawatan juga merupakan antara faktor yang menyumbang kepada tuntutan insurans yang lebih tinggi.

Berhubung syarikat-syarikat insurans asing yang berada di Malaysia tetapi tidak mematuhi undang-undang tempatan, beliau berkata, bank pusat menggesa supaya mereka memenuhi janji-janji yang telah dibuat sebelum ini,

“Ini yang kami minta selepas memberikan lesen kepada mereka untuk beroperasi di Malaysia.

“Bagaimanapun, ia turut bergantung kepada saiz syarikat yang mana syarikat kecul berdepan dengan masalah kecil, begitu juga sebaliknya,”katanya- MalaysiaGazette