KUALA LUMPUR -Satu mesyuarat khas telah diadakan hari ini antara pihak kerajaan dan wakil Pas tentang Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) dikaji semula secara lebih teliti.

Mesyuarat yang diadakan di Bilik Jawatankuasa 1, Bangunan Utama Parlimen telah diwakili oleh dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Jamil Khir Johari, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Pas pula oleh Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi.

Menurut sumber, mesyuarat itu ekoran dakwaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwa pindaan Akta 164 bakal mencetuskan implikasi serius terhadap kebebasan orang Islam mengamalkan agama tanpa gangguan mana-mana pihak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga meminta jawatankuasa mendapatkan pandangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, pengamal undang-undang syariah dan sivil, NGO dan pihak yang terkesan secara langsung dalam pindaan Akta 164.

Pada mesyuarat yang sama kerajaan juga diwakili oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Tan Sri Othman Mustapha, Penasihat Perundangan Syariah Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Pas juga diwakili oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali dan beberapa lagi wakil rakyat Pas.- MalaysiaGazette