Home Dunia Saudia Airlines belum dapat hak mendarat bawa jemaah haji Qatar

Saudia Airlines belum dapat hak mendarat bawa jemaah haji Qatar

DUBAI – Saudia Airlines masih belum dapat menghantar kapal terbang untuk mengambil jemaah haji Qatar ke negara itu kerana tidak mendapat kebenaran untuk mendarat di lapangan terbang Doha.

Arab Saudi bersama-sama dengan tiga negara Arab lain memutuskan hubungan diplomatik dengan Doha sejak Jun lalu selepas mendakwa negara itu menyokong pengganas dan Iran.

Namun tuduhan itu dinafikan Qatar.

Bagaimanapun, Riyadh bersetuju untuk menyediakan penerbangan kepada jemaah haji Qatar.

Arab Saudi juga telah membuka semula sempadan bagi pengangkutan darat pada minggu lalu.

Raja Salman telah memerintahkan penghantaran pesawat Saudia Airlines untuk terbang jemaah Qatar ke Jeddah dengan perbelanjaannya sendiri.

Tetapi penerbangan pertama tidak dapat berlepas dari Arab Saudi kerana belum mendapat kebenaran mendarat di Doha, kata Saleh al-Jasser, Pengarah Saudia Airlines.

Beliau berkata, syarikat penerbangan itu telah meminta kebenaran mendarat beberapa hari lepas.

Qatar yang menyambut baik keputusan Saudi untuk membuka sempadan dan menyediakan penerbangan untuk jemaah haji negara itu tetapi menyifatkan langkah itu bermotivasi politik.

Arab Saudi telah menyatakan bahawa jemaah Qatar tidak akan terjejas oleh sekatan perjalanan, tetapi beberapa jemaah haji mereka mendakwa menghadapi kesulitan mengatur perjalanan haji, yang pada tahun ini bermula dari akhir bulan Ogos hingga awal September.

Jemaah haji Qatar mula melalui sempadan darat pada hari Khamis lalu, menurut televisyen al-Arabiya.

Qatar menuduh Arab Saudi mempolitikkan haji dan membuat aduan kepada Wakil Khas Kebebasan Beragama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bulan lalu. – MalaysiaGazette