Isteri penyanyi nasyid tanah air, Siti Arifah Mohd Amin menyarungkan cincin kepada suaminya pada Majlis Pernikahan Hafiz Hamidun dengan Siti Arifah Mohd Amin di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor. foto IQBAL BASRI, 01 MEI 2017. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penyanyi Hafiz Hamidun menegaskan, isu kemelut rumahtangganya akan dijawab berdasarkan fakta dan bukannya mengikut emosi.

Hafiz, 33, berkata, buat masa ini dia sedang mengumpulkan beberapa fakta berkaitan perkahwinan tersebut yang akan dijelaskan kepada umum.

Dia memberitahu isu perkahwinannya yang tidak sah dengan iJoy Revfa akan dijelaskan selepas segala urusan berkaitan mahkamah selesai.

“Saya tiada ulasan tentang perkahwinan tidak sah, anda akan ketahui tentang perkara itu tidak lama sahaja lagi selepas semua keputusan dan fakta sudah siap.

“Bukan saya berdiam diri, cuma saya ingin bercakap berlandaskan fakta bukan emosi semata-mata. Bagi saya sekarang bukan masanya lagi,” ujarnya.

 Hafiz berkata demikian menerusi Instagram secara langsung di sini hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas isterinya Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin, 30, membuat permohonan faraq di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di Subang Bestari di sini Jumaat lalu selepas meragui perkahwinan yang dibina bersama Hafiz pada 1 Mei lalu.

Dalam pada itu, Hafiz berkata, dia turut hadir ke mahkamah pada kira-kira pukul 8.30 pagi ini untuk membuat pemfailan permohonan berkenaan, namun gagal selepas isterinya terlebih dahulu melakukan perkara tersebut.

Malah, dia terkejut, apabila Joy membuat kenyataan berkenaan terlebih awal.

Joy turut hadir di mahkamah berkenaan pagi ini untuk melengkapkan beberapa dokumen selepas memfailkannya pada Jumaat lalu.

Dia ditemani peguam syarie Aznor Syuhada dan Muhammad Nur Hafiz Roslan.

Dalam pada itu, mahkamah menetapkan 14 September depan untuk mendengar permohonan yang dibuat pihaknya.

Turut menemani Joy ialah ibunya, Sofia Abbas, kakaknya iaitu Dyana Sofia dan adik, Mohd Zarif.

Permohonan dibuat mengikut Seksyen 61 (3)(b)(1) dan Seksyen 62(1)(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003.

Hafiz dan Joy Revfa diijabkabulkan di Masjid Negeri, Shah Alam pada 1 Mei 2017 dengan sekali lafaz.

Mereka bertunang dua bulan sebelum itu, pada 23 Mac 2017.

Joy Revfa pernah berkahwin sebelum ini dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Arryan Firdaus yang kini berusia tiga tahun. – MalaysiaGazette