Home Nasional 4,603 Rumawip disiapkan setakat Julai lalu

4,603 Rumawip disiapkan setakat Julai lalu

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 projek Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) melibatkan 4,603 unit rumah berjaya disiapkan sepenuhnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sehingga Julai lepas, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Balan Mohan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 3,037 unit rumah atau 66 peratus diserahkan kepada pembeli.

“Selain itu, 21,263 unit rumah melibatkan 37 projek Rumawip sedang di peringkat pembinaan. Pada masa ini juga, sebanyak 46,924 unit rumah melibatkan 63  projek sedang dirancang dan akan dibangunkan di seluruh Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan),” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Negara, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Tan Sri S. Nallakaruppan yang ingin tahu jumlah  projek Rumawip yang dirancang dan siap dibina serta jumlah unit yang telah diserahkan kunci dan pemilikan kepada pembeli.

Loga Balan berkata, daripada jumlah perancangan itu, 26 projek melibatkan 10,672 unit rumah telah mendapat kelulusan perintah pembangunan  manakala 9,879 unit lagi yang melibatkan sembilan projek masih di peringkat perancangan.

Menjawab jumlah  Rumawip yang masih perlu dibina, beliau berkata, sasaran awal kerajaan ialah  membangunkan 50,000 unit Rumawip di Kuala Lumpur, 20,000 unit di Putrajaya dan 10,000 unit di Labuan menjelang 2020.

Kerajaan melaksanakan dasar Rumawip untuk merealisasikan Dasar Perumahan Negera dicapai di Wilayah Persekutuan bagi membolehkan penduduk di wilayah itu yang terdiri daripada golongan B40 dan M40 memiliki rumah selesa dan mampu milik yang harganya lebih murah berbanding harga pasaran.- MalaysiaGazette