Iskandar Abdul Samad

SHAH ALAM – Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad mempertahankan kerajaan negeri berikutan tersebarnya satu rakaman video berhubung aduan penyewa PPR Kg. Baru Hicom.

Dalam video tersebut, sekumpulan penduduk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pemotongan bekalan air dan elektrik tanpa pengeluaran notis terlebih dahulu.

Menurut Iskandar, pihak pengurusan PPR Kg. Baru Hicom ini iaitu Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) tampil menjawab dan menafikan segala tuduhan yang dilemparkan terhadap kerajaan Negeri .

“Menurut PHSSB apa yang ditularkan di dalam media sosial adalah bertentangan dengan apa yang berlaku. Ini ditambah ada pihak-pihak tertentu mensensasikan isu ini dengan tujuan memberi gambaran buruk kepada pentadbiran kerajaan Negeri.

“Pihak PHSSB telah meminta penyewa yang masih mempunyai tunggakan untuk hadir ke pejabat pengurusan sebelum 7hb Ogos 2017 untuk membuat penjadualan semula secara ansuran tunggakan yang ditanggung oleh penyewa.

“PHSSB melaporkan, sehingga Jun 2017 seramai 184 penyewa masih mempunyai tunggakkan yang berjumlah keseluruhan sebanyak RM337,075.00.

“Namun setelah notis dikeluarkan pada 1 Ogos, seramai 98 penyewa tampil ke pejabat pengurusan dan bersetuju untuk membuat bayaran tunggakan mereka secara ansuran,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Iskandar, tindakan mengeluarkan notis pengosongan kediaman itu juga hanya diberikan kepada 86 lagi penyewa yang degil dan masih gagal hadir ke pejabat pengurusan, walaupun peringatan sudah dihantar.- MalaysiaGazette