William Leong

KUALA LUMPUR – Jawatan ahli Biro Politik PKR yang disandang Ahli Parlimen Selayang, William Leong kosong ekoran tindakan beliau membantah langkah perbincangan kerjasama dengan Pas.

Ia didakwa ditujukan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang ingin PKR meneruskan perbincangan kerusi dengan Pas bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).

“Saya tidak bersetuju parti meneruskan pendekatan bekerjasama dengan Pas apabila sudah jelas Pas sudah ada persetujuan dengan UMNO.

“Saya sudah berikan sebab-sebab mengapa saya tidak bersetuju bekerjasama dengan Pas dalam surat perletakan jawatan saya,” katanya sebagaimana yang dilaporkan sebuah portal politik hari ini.

Surat perletakan jawatannya sudah dihantar kepada pucuk pimpinan PKR semalam.

Perkara itu disahkan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang menerima surat perletakan jawatan Leong sebagai anggota Biro Politik.

“Kami akan mencari jalan untuk cuba menyelesaikan masalah ini,” kata Nurul Izzah.

Bagaimanapun jawatan Leong sebagai ahli Majlis Tertinggi (MPT) PKR tidak berubah.

Wan Azizah sebelum ini berkata, PKR tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan Pas biarpun tahaluf siyasi antara keduanya sudah terputus secara rasmi tiga bulan lalu.

Beliau berkata demikian beberapa hari selepas bersama Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali menziarahi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sedang berehat selepas menjalani rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette