Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu amat bersetuju sekiranya Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipanggil sebagai saksi berhubung kejadian Memali yang berlaku pada tahun 1985.

“Pas amat setuju sekiranya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, juga dipanggil untuk membolehkan beliau memberikan keterangan sebenar mengenai kejadian itu dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya kepada Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) nanti.

“Pas juga dengan ini bersetuju dengan pandangan Lim Kit Siang, Ketua Ahli Parlimen DAP (melalui kenyataan medianya pada 2 April 2014) yang juga mendesak RCI Tragedi Memali ditubuhkan dengan mengemukakan sebab mengapa RCI perlu ditubuhkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, veteran DAP itu serta bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor mengaitkan ‘Amanat Hadi’ dengan tragedi Memali yang mengorbankan 14 penduduk kampung dan empat anggota keselamatan.

Malah Takiyuddin berkata, parti itu berharap RCI mengenai kejadian Memali dapat ditubuhkan secepat mungkin.

Takiyuddin berkata, Pas juga bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh Lim Kit Siang

Pada 2 April 2014, Kit Siang menyenaraikan beberapa saksi yang berpotensi untuk dipanggil bagi memberikan keterangan.

Antaranya Tun Musa Hitam (bekas Timbalan Perdana Menteri), Tun Hanif Omar (bekas Ketua Polis Negara), Tan Sri Mohd Amin Osman (bekas Pemangku Ketua Polis Negara), Tan Sri Rais Yatim (bekas Menteri Penerangan), Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad (Timbalan Menteri Dalam Negeri, ketika itu), Tan Sri Sanusi Junid (Setiausaha Agung UMNO ketika itu), Tunku Muszaffar Shah (Ketua Polis Daerah Baling ketika kejadian) dan Datuk Muhamad Yusof Husin (bekas Senator). – MalaysiaGazette