Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) diiringi Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (empat kiri) mengibarkan bendera Jalur Gemilang dengan sebahagian NGO-NGO wanita cina pada Majlis Makan Malam Anugerah Tokoh-Tokoh Wanita Cina Malaysia di Wisma Hua Zong, Serdang. foto FAREEZ FADZIL, 26 OGOS 2017
KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru masyarakat Cina supaya berhenti daripada terus menjadi mangsa manipulasi politik pihak pembangkang dan kembali menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau berkata sejak sekian lama, mereka menjadi mangsa pembangkang yang menyemai perasaan membenci kerajaan dan mengesa mereka mengubah kerajaan sedia.

“Saya menyeru Wanita MCA supaya memberitahu kepada semua (bahawa) cukuplah kita dimanipulasikan pihak pembangkang. Ada beberapa negeri yang diberi kesempatan menjadi kerajaan (pembangkang) tetapi keadaan tidak menjadi lebih baik berbanding dahulu.

“Cukuplah kita dimanipulasi oleh pembangkang dan kembalilah kepada BN yang membela semua rakyat,” kata beliau pada majlis makan malam Anugerah Kecemerlangan Wanita Cina Malaysia di Seri Kembangan dekat sini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kerajaan BN mempunyai pelbagai program untuk membela rakyat negara ini dan beliau akan membantu menentukan supaya agenda memartabatkan masyarakat Cina terus diberi keutamaan oleh kerajaan tanpa meminggirkan kaum lain.

Mengambil contoh isu kewarganegaraan, Ahmad Zahid berkata beliau sendiri telah memberi kelulusan kepada mereka yang layak.

“Setakat ini, permohonan oleh MCA, Gerakan dan rakan-rakan yang lain telah diluluskan kerana ini adalah hak dan hak ini tidak boleh dinafikan.

“Itulah sebabnya saya mahu rakan-rakan dari semua keturunan melihat bahawa transformasi yang dilakukan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan sesuatu yang cukup baik untuk rakyat negara ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid turut mengiktiraf sumbangan wanita dalam pelbagai sektor pembangunan di negara ini.

Justeru itu, katanya, golongan wanita perlu diberi peluang dan kepercayaan lebih besar untuk menjadi pemimpin dan pembuat dasar.

Ahmad Zahid yakin jika wanita diberi ruang dan peluang lebih besar, mereka mampu membuktikan karisma dan kebolehan masing-masing dalam bidang yang diterajui.

Mengambil contoh Datuk Marina Chin yang merupakan Chef-de-Mission Malaysia ke Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, beliau berkata bekas olahragawati negara itu berjaya memimpin kontingen negara ke arah kecemerlangan pada temasya sukan terbesar Asia Tenggara yang sedang berlangsung di negara ini.

Beliau berkata usaha gigih Chin, yang juga chef-de-mission wanita pertama negara, telah membawa kepada kontingen Malaysia mendahului negara peserta lain dengan pungutan 81 pingat emas, 57 perak dan 50 gangsa.

Kerajaan akan memberi pengiktirafan khas kepada Chin semasa upacara penutup Sukan SEA pada 30 Ogos ini, kata beliau.- BERNAMA