KUALA LUMPUR – Krisis PKR Kelantan semakin memuncak.

Terkini, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr. Mohd. Hafidz Rizal Amran dipecat menerusi aplikasi WhatsApp hari ini selepas didesak supaya meletak jawatan.

Mohd. Hafidz Rizal memuat naik status dalam akaun Facebooknya mengesahkan pemecatan tersebut yang dibuat oleh Ketua AMK Pusat, Nik Nazmi Nik Ahmad yang menghantarnya satu mesej mengumumkan pemecatan tersebut.

“Saya telah menerima WhatsApp daripada YB Nik Nazmi Nik Ahmad pada jam 9.08 pagi ini yang memecat saya daripada jawatan Ketua AMK Kelantan,” tulis beliau dalam satu kenyataan di akaunnya hari ini.

Nik Nazmi Nik Ahmad

Terdahulu minggu lalu, Mohd. Hafidz Rizal didesak melepaskan jawatannya.

Naib Ketua AMK negeri, Mohd Khairul Amin Abdul Rahman berkata, majoriti Ketua AMK Cabang turut menandatangani satu memorandum kepada pucuk pimpinan pusat supaya Mohd Hafidz Rizal dilucutkan daripada jawatan tersebut.

Sebelum ini, PKR Kelantan dikatakan terbahagi kepada dua kumpulan selepas Pengerusinya, Ab. Aziz Ab. Kadir dilihat cenderung bekerjasama dengan Pas kerana mahu mengekalkan lantikan politik PKR di negeri itu.

Menurut sumber, Mohd. Hafidz Rizal dikatakan merupakan salah seorang pimpinan negeri yang menyokong kuat hasrat Ab. Aziz.

Mohd. Khairul Amin bagaimanapun enggan mendedahkan punca sebenar Mohd. Hafidz Rizal hilang sokongan majoriti jawatankuasa AMK negeri. – MalaysiaGazette