Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memanaskan badan sebelum perlawanan bermula pada kejohanan Polo Terbuka Malaysia 2017 diantara pasukannya, Jogo Polo Team dan Ranhill Putrajaya di Padang Polo Royal Selangor, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 11 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meniup kata-kata semangat kepada skuad bola sepak negara yang bakal berdepan dengan Thailand pada perlawanan akhir malam esok agar berjuang habis-habisan demi memastikan ibu segala pingat milik Malaysia.

Bagi Khairy, harapan itu bukan satu bentuk tekanan kepada skuad Datuk Ong Kim Swee tetapi kata semangat membawa pulang hadiah istimewa menjelang Hari Kebangsaan 2017.

Perlawanan final antara Malaysia dan juara bertahan, Thailand akan berlangsung pukul 8.45 malam di Stadium Shah Alam.

“Saya tidak mahu pemain kita rasa tekanan yang terlalu besar, saya mahu mereka main perlawanan mereka…berjuang habis-habisan, tetapi ‘enjoy the game’,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan edisi khas Tin Emas ‘Kita Juara’ 100Plus di Rumah Malaysia yang terletak di pekarangan Stadium Nasional di sini hari ini.

Selain menyuntik semangat kepada skuad negara, beliau turut meminta penyokong yang bakal membanjiri stadium supaya menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan mengelak daripada mencetuskan sebarang masalah. – MalaysiaGazette