Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini dengan jelas berkata Pakatan Harapan (PH) mampu untuk membentuk kerajaan baharu di Melaka disebabkan peralihan pengundi di negeri itu kepada gabungan pembangkang.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, peralihan 15 peratus undi Melayu dan lima peratus undi bukan Melayu di Melaka akan memberikan kemenangan kepada PH.

“Jika ini berlaku, PH akan menang 17 daripada 28 kerusi negeri (DUN) dan mengambil alih pentadbiran kerajaan BN di Melaka,” katanya dalam Facebook beliau.

Mengakui tugas untuk merampas Melaka daripada tangan BN bukan suatu yang mudah, Kit Siang berkata, ia memerlukan kerjasama yang kuat daripada semua parti terutamanya PH Melaka.

Kenyataan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 9 Ogos lalu jelas menggambarkan situasi sebenar DAP, PPBM, PKR mahupun PAN.

Mana tidaknya, Mukhriz pernah mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu dilihat mampu untuk menguasai negeri Kedah, Johor dan Melaka pada PRU-14 akan datang.

Ia bersandarkan sokongan yang diterima parti itu ketika mengadakan siri jelajah selepas penubuhan PPBM pada September lalu.

Kenyataan itu jelas menggambarkan keempat-empat gabungan pembangkang itu diibaratkan ‘tidur sebantal, mimpi lain-lain’ kerana sering mengeluarkan kenyataan yang berbeza-beza.

“Paling ketara Kedah dan Johor. Tetapi apa yang mengejutkan kami ialah Melaka. Setiap kali kita ada di sana, sokongan terbuka itu sangat mengujakan.

“Bukan hanya apabila Dr Mahathir ada tetapi kalau saya atau Muhyiddin pun, orang datang terutama pada malam hari,” kata bekas Menteri Besar Kedah itu. -MalaysiaGazette.