Datuk Vida di kapet merah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke 30 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 14 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Pengasas Vida Beauty Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman dijatuhkan hukuman denda RM4,800 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah menyiarkan iklan tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat.

Majistret, Mohd. Azali Ibrahim turut memerintahkan Hasmiza atau lebih dikenali Datuk Seri Vida selaku orang kena saman (OKS) menjalani tambahan hukuman penjara lima bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, Pengasas Vida Beauty Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman Hasmiza, 46, didakwa menyiarkan iklan dalam rancangan Jom Singgah berhubung produk Pamoga untuk mempengaruhi pengguna sebagai ubat atau penyembuh bagi merawat kulit melecur, meredakan sakit sendi dan melegakan sakit lutut seperti yang dinyatakan dalam jadual Akta Ubat (Iklan dan Penjualan 1956) tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Sri Pentas, Persiaran Bandar Utama, di sini, antara pukul 1 hingga 1.30 tengah hari, pada 18 Julai 2016.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4B Akta Ubat (Iklan dan Penjualan 1956) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 5(1)(b) akta yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette