PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan mengkaji aspek perundangan bagi membolehkan pendakwaan dibuat terhadap nelayan tempatan yang mengejar keuntungan apabila sanggup berkongsi hasil tangkapan laut dengan nelayan asing di tengah laut.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Datuk Mohd Taha Ibrahim berkata, pihaknya telah beberapa kali menangkap nelayan tempatan yang menjalankan aktiviti itu namun sukar membuat pendakwaan kerana berlaku di luar perairan Malaysia.

“Isu akan ditangani (secepat mungkin) dan kita akan lihat sudut perundangan untuk menuduh mereka yang terlibat,” katanya kepada pemberita pada Program Pelupusan Vesel Lucut Hak Secara Bakar di Pejabat Daerah Maritim 10 Tok Bali di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah APMM Kelantan Kapten Nurul Hizam dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan Hamzah Mohamad.

Mohd Taha mengulas laporan akhbar berhubung berlakunya aktiviti perniagaan antara nelayan tempatan dan asing di luar perairan Malaysia.

Berhubung program itu, Mohd Taha berkata, APMM melupuskan dua bot nelayan asing dengan cara membakarnya di kedudukan 7.9 batu nautika dari muara Tok Bali di sini.

Beliau berkata, ia julung kali diadakan bagi menyampaikan mesej kepada masyarakat bahawa kerajaan serius menangani isu pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

“Pelupusan secara bakar ini diambil sebagai kaedah alternatif bagi membuktikan kerajaan amat peka dan serius menangani isu pencerobohan memandangkan sebelum ini terdapat viral menyatakan APMM tidak mengambil tindakan wajar terhadap isu itu,” katanya.

Menurutnya, APMM telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk membakar bot berkenaan yang tidak memberi kesan kepada pencemaran laut. – Bernama