KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Bhd (1MDB) telah melunaskan hutang tranche pertamanya kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) seperti yang ditetapkan dalam perjanjian.

“IPIC sekarang sudah menerima dana yang perlu dibayar pada 31 Ogos bagi melengkapkan prestasi Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc.) dan 1MDB sebagai obligasi selepas lanjutan tarikh asal 31 Julai,” kata IPIC dalam kenyataannya kepada Bursa Saham London hari ini.

Bagaimanapun IPIC tidak memaklumkan jumlah bayaran yang diterima.

Sebelum ini, 1MDB telah melunaskan bayaran arbitrasi berjumlah AS$350 juta kepada IPIC sebagai sebahagian daripada pembayaran penyelesaian yang berakhir pada 31 Julai 2017.

Pada 1 Ogos lalu, IPIC membenarkan 1MDB dan MoF Inc. melanjutkan pembayaran arbitrasi.

Syaratnya kedua-duanya perlu membayar sekurang-kurangnya AS$310 juta pada atau sebelum akhir Julai lalu.

Syarikat pelaburan Abu Dhabi itu menegaskan, 1MDB dan MoF Inc. perlu menanggung kadar faedah akibat pembayaran lewat.

Di bawah perjanjian yang diputuskan pada bulan April lalu, IPIC bersetuju untuk membayar sejumlah AS$1.2 bilion dengan dua kali bayaran kepada IPIC.

Bayaran pertama berjumlah kira-kira AS$600 juta yang perlu dijelaskan pada 31 Julai.

Bagaimanapun, 1MDB gagal melaksanakan komitmen itu.

Bayaran kedua berjumlah AS$602 juta perlu dijelaskan pada akhir tahun ini.- MalaysiaGaze