Home Dunia Korea Utara keterlaluan – PBB

Korea Utara keterlaluan – PBB

Ketegangan kembali meletus selepas Korea Utara melancarkan peluru berpandu yang melintasi Jepun, foto Agensi

GENEVA – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk bedilan peluru berpandu balistik oleh Korea Utara semalam yang dinyatakan sebagai tindakan keterlaluan.

Badan itu menuntut agar Pyongyang tidak melancarkan lebih banyak peluru berpandu dan menghentikan semua program senjata dan program nuklear.

Dalam satu kenyataan itu, 15 anggota Majlis Keselamatan PBB menuntut Korea Utara mengambil tindakan segera, konkrit untuk mengurangkan ketegangan dan menyeru semua negara melaksanakan sekatan ke atas Pyongyang.

“Tindakan Korea Utara ini bukan sekadar memberi ancaman kepada rantau ini, tetapi kepada semua negara anggota PBB,” menurut kenyataan PBB.

Majlis itu turut menyatakan komitmennya untuk menyelesaikan konflik tersebut secara aman, diplomatik dan politik.

Majlis itu juga menyatakan “komitmennya untuk penyelesaian secara politik, aman dan diplomatik.

“Dunia bersatu menentang Korea Utara, tidak ada keraguan tentang hal itu. Sudah tiba masanya bagi Korea Utara untuk tahu bahaya yang mereka lakukan sendiri. Amerika Syarikat tidak akan membenarkan perkara ini berlarutan,” menurut Duta Besar Amerika Syarikat ke PBB, Nikki Haley memberitahu majlis itu.

Ketika pernyataan yang digubal Amerika Syarikat itu tidak mengancam sekatan baru Korea Utara, duta besar Jepun ke PBB, Koro Bessho berkata: “Saya harap kita akan dapat menyelesaikan resolusi yang kukuh berdasarkan pernyataan … ini.”

Diplomat berkata, anggota majlis yang memegang kuasa veto China dan Rusia biasanya hanya melihat ujian peluru berpandu jarak jauh atau senjata nuklear sebagai pencetus untuk sekatan selanjutnya oleh PBB.

Korea Utara telah berada di bawah sekatan PBB sejak 2006 berikutan program peluru berpandu balistik dan nuklearnya.

Majlis Keselamatan PBB pada awal bulan ini sebulat suara mengenakan sekatan baru ke atas Korea Utara dengan mengurangkan sebanyak satu pertiga hasil eksport tahunan bernilai AS$3 bilion, selepas ia melancarkan dua peluncuran peluru jarak jauh pada bulan Julai.

Duta Besar China, Liu Jieyi, menyeru semua pihak untuk mengelakkan tindakan provokatif yang mungkin memburukkan keadaan serantau.

Sementara itu, Duta Besar Rusia, Vassily Nebenzia memberitahu dewan itu bahawa “tidak boleh ada penyelesaian ketenteraan untuk isu-isu yang melanda Semenanjung Korea.” – MalaysiaGazette