KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) yakin perniagaan gula akan lebih baik pada separuh kedua tahun ini selepas menjejaskan pendapatan kumpulan pada separuh pertama yang berakhir pada 30 Jun 2017.

Pegawai Bertanggungjawab FGV, Datuk Khairil Anuar Aziz berkata, syarikat itu menjangkakan FGV akan mendapat manfaat daripada kejatuhan harga gula mentah pada separuh kedua tahun 2017.

Menurutnya, stok gula sebelum ini dibeli pada harga lebih tinggi.

“Kami masih mempunyai lebih kurang 200 metrik tan bahan mentah yang dibeli beberapa sen (dolar) lebih tinggi berbanding harga semasa,” katanya pada sidang akhbar ketika mengumumkan prestasi kewangan suku kedua FGV di sini.

FGV memiliki perniagaan gula melalui MSM Malaysia Holdings Berhad.

Selain itu, katanya, FGV juga melaksanakan pengurangan dalam kos operasi penapisan gula sebanyak 14 peratus dari pada separuh pertama tahun ini.

“Kami menjangka harga gula mentah berada sekitar AS$0.14 dan AS$0.15 setiap paun pada separuh kedua tahun ini,” kata Khairil.

Sementara itu, FGV menyemak semula pengeluaran tandan buah segar (FFB) kepada 4.3 juta tan metrik, susut sebanyak 200,000 tan metrik daripada unjuran awal.

Semakan itu disebabkan kekurangan tenaga buruh, kata Khairil.

Katanya, FGV sedang berusaha menangani masalah itu.

Menurut beliau, FGV telah mendapat peruntukan kuota 8,000 orang pekerja asing tahun ini termasuk 5,000 orang dari Bangladesh, Indonesia 2,000 dan bakinya dari India,

Setakat ini seramai 1,000 orang sudah diambil bekerja dan baki dalam tempoh sekurang-kurangnya empat bulan lagi.

Meskipun begitu, katanya, FGV akan terus meningkatkan penyertaan buruh tempatan, yang diakui sukar dan mencabar.

“Memang ada yang berminat tetapi jumlahnya tidak sedikit…dalam anggaran 200 hingga 300 orang. Itu pun dalam kalangan keluarga peneroka yang berminat untuk terus tinggal di kawasan Felda,” katanya. – MalaysiaGazette