Bekas Timbalan Gabenor BNM, Tan Sri Dr Lin See Yan hadir sebagai saksi kedua belas Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian urus niaga pertukaran mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 1990an di Mahkamah Rayuan 6, Istana Kehakiman, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 30 OGOS 2017.

PUTRAJAYA – Saksi kedua belas, Tan Sri Lin See Yan memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi kerugian urus niaga pertukaran mata wang asing BNM, bahawa Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah individu yang paling tidak puas hati dengan kerugian yang dialami bank pusat itu.

Menurut bekas Timbalan Gabenor BNM itu, beliau ada bertemu dengan Anwar, namun tidak dapat pasti tarikh dan waktu pertemuan dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Ia ekoran Anwar memanggil beliau selepas bercakap dengan Gabenor BNM ketika itu, Tan Sri Jaffar Hussein.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah yang paling tidak berpuas hati dengan kerugian yang berlaku, dan bersetuju dengan saya bahawa apa jua kedudukan terbuka yang masih ada harus ditutup secepat mungkin,” katanya ketika menjadi saksi RCI hari ini.

Malah menurut kenyataan beliau, dia tidak tahu samada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengetahui mengenai kerugian itu.

“Saya tidak tahu sama ada orang lain memberitahu Perdana Menteri ketika itu (Tun Dr Mahathir Mohamad) mengenai kerugian tukaran mata wang asing yang ditanggung oleh Bank Negara Malaysia,” katanya ketika memberikan kenyataan di hadapan lima ahli panel RCI hari ini.

Lin turut memberitahu RCI bahawa beliau tidak memainkan peranan dalam urusniaga yang dijalankan BNM dan menyebut nama Nor Mohamad Yaacop sebagai ketua peniaga urusniaga berkenaan.

“Saya tidak ada peranan dalam operasi terperinci urus niaga forex oleh BNM.

“Jaafar beritahu saya Nor Mohamed Yakcop ketua peniaga. Saya beritahu dia, memandangkan dia tidak tahu jumlah kerugian, dia perlu siasat butiran kerugian. Jaafar setuju dan saya rasa Lee Siew Kuan dengan bantuan Murad yang menjalankan siasatan,” katanya.

Lin bertugas dari 1980 hingga Julai 1994.

Malah Lin berkata, beliau hanya mengetahui perkara daripada penasihat BNM Liew Siew Kuan dan seorang rakan dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). -MalaysiaGazette.

http://malaysiagazette.com/blog/2017/08/30/rci-forex-gabenor-bnm-ketika-itu-terkejut-kerugian-rm9-bilion/

Comments are closed.