Britain perlu melabur dalam tenaga baharu bagi menyokong pelaksanaan kenderaan elektrik menjelang 2040. - Reuters

LONDON – Britain berdepan kos perbelanjaan tinggi untuk mengelak kekurangan tenaga berikutan rancangan pelaksanaan kereta elektrik (EV) pada masa akan datang.

Kerajaan itu perlu melabur berbilion pound dalam pelan meneroka tenaga baharu, tempat mengecaj kenderaan elektrik bagi mengelak masalah kekurangan tenaga apabila pemansuhan penggunaan kereta bahan api petrol dan diesel berkuatkuasa.

Secara teknikal, menyokong jutaan kenderaan berkuasa bateri untuk dua dekad akan datang boleh dilaksanakan.

Sekiranya pemandu mengecaj kereta mereka setiap malam dan apabila terdapat kapasiti kuasa gantian berlebihan, kos infrastruktur yang agak besar dapat dikurangkan.

Sistem rangkaian tempatan akan berdepan masalah, maka negara itu memerlukan teknologi baharu yang dapat menampung keperluan pengguna, secara keseluruhan peningkatan 15 peratus.

“Ia agak mencabar dan memerlukan pelaburan yang besar daripada segi kapasiti generasi, mengukuhkan grid dan infrastruktur pengagihan,” kata penganalisis pasaran tenaga di Eood Mackenzie, Johannes Wetzel.

Pada Julai lalu, kerajaan Britain mengumumkan ia akan menghentikan penjualan kereta dan van yang menggunakan petrol dan diesel bermula 2040.

Ia  bertujuan mengurangkan pencemaran udara ekoran meningkatan kebimbangan mengenai kesihatan awam.

Selain itu, pengharaman tersebut juga untuk membantu Britain mengurangkan asap karbon sebanyak 80 peratus menjelang 2050.

Walaupun beberapa kenderaan petrol dan diesel masih bergerak di atas jalan, bilangan kereta elektrik (EV) akan ditingkatkan kepada 20 juta unit menjelang 2040 daripada 90,000 unit yang ada sekarang.

Pakar menjangkakan untuk mengecaj kesemua kenderaan elektrik itu memerlukan kuasa elektrik tambahan.

Britain sebelum ini sudah berdepan krisis pembekalan elektrik menjelang awal 2020 memandangkan reaktor nuklear lama akan berhenti beroperasi tidak lama lagi.

Manakala loji-loji arang batu juga akan dihentikan kepenggunaannya pada tahun 2025.

Empat tahun lalu, sebelum larangan kereta konvensional dibangkitkan, kerajaan itu berkata pelaburan sebanyak £100 bilion diperlukan untuk memastikan bekalan elektrik yang bersih dan selamat.

Ia disifatkan sebagai optimistik kerana satu-satunya stesen tenaga nuklear iaitu Hinkley Point C yang sedang dalam pembinaan menelan kos £19.6 bilion.

Pelan loji gas adalah murah dan cepat untuk dibina tetapi pelaburan baharu statik dan masih memerlukan penghasilan pengeluaran karbon.

Tenaga boleh diperbaharui pula membawa masalah menepati keperluan permintaan dan bekalan, manakala panel solar pula tidak akan menghasilkan tenaga pada waktu malam apabila pemandu mahu mengecaj kereta elektrik mereka. – MalaysiaGazette