JAKARTA – Sekurang-kurangnya empat orang cedera dan 27 keluarga lagi terkesan selepas satu gempa bumi dengan magnitud 6.2 melanda Daerah Garut di Jawa Barat pada pukul 11.29 pagi waktu tempatan, Ahad.
Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia melaporkan Tasikmalaya merupakan kawasan yang paling terkesan dilanda gempa bumi dengan 13 keluarga terjejas, diikuti Garut dengan empat keluarga terkesan.
Jurucakap Abdul Muhairi berkata, pusat gempa ialah di pantai barat daya Pulau Jawa dengan kedalaman 70 kilometer (km), kira-kira 156 km barat daya Garut mengakibatkan kerosakan kepada 27 kediaman dan bangunan-bangunan lain.
“Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Sumedang dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan telah mendirikan khemah di medan parkir Hospital Sumedang sebagai persediaan untuk gegar penghujung,” katanya dalam satu kenyataan.
Saluran berita tempatan melaporkan ramai yang panik dan mengosongkan rumah masing-masing untuk keselamatan semasa gempa bumi itu.
Ketua Pusat Gempa Bumi dan Tsunami BMKG, Dr Daryono berkata, gempa bumi itu berlaku akibat pergerakan dalam plat Indo-Australia di bawah plat Eurasia, atau dikenali sebagai gempa bumi kepingan dalaman. – Bernama