KUALA LUMPUR – Siasatan akan dijalankan bagi mendapatkan kesahihan berhubung tular dakwaan rawatan lambat diberikan kepada seorang warga Singapura yang terlibat dalam kemalangan baru-baru ini.

Mendiang warga Singapura, Justinian Tan didakwa diberikan rawatan lambat.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, beliau maklum tentang isu yang tular di media sosial itu sejak beberapa hari selepas kematian warga Singapura terbabit pada 25 Ogos lalu itu.

“Kami akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan yang tular itu dan mendapatkan maklumat sahih,” beliau dipetik sebagai berkata.

Beberapa hari lalu, tular di media sosial kisah mangsa langgar lari yang menimpa Justinian Tan.

Difahamkan, mangsa bersama lima rakannya datang ke Johor Bahru untuk makan.

Apabila berada di Jalan Dato Abdullah Tahir di Taman Abad, kira-kira 3 pagi, difahamkan Proton Saga merempuh mangsa dan seorang rakan mangsa.

Rakan mangsa, Brandon Yeo, 24, hanya mengalami kecederaan ringan.

Rakan mangsa, Ernest Lee dipetik sebagai berkata, pihak berkaitan melengah-lengahkan bantuan kecemasan terhadap mangsa.

Malah, mereka mendakwa ambulans hanya tiba di tempat kejadian setengah jam selepas kejadian. – MalaysiaGazette