LONDON – Penyerang Arsenal, Alexis Sanchez meluahkan rasa hati pertama kali sejak gagal berpindah ke Manchester City selepas tempoh perpindahan tamat pada 31 Ogos lalu.
Menerusi akaun Instagram miliknya, pemain antarabangsa Chile itu menulis beberapa mesej tersirat di bahagian komen dan menimbulkan tanda tanya.
“Apabila dunia mengingatkan anda tentang kekalahan anda, ingatkan mereka tentang kemenangan yang anda tidak dapat lupakan.
“Seorang pemenang sebenarnya adalah seorang yang tewas yang mencuba lebih dari sekali.”
“Apa yang anda lakukan penting, tetapi alasan anda melakukannya lebih penting lagi.”
“Anda akan sedar bahawa apa yang dilihat sebagai pengorbanan hari ini, akan menjadi satu pencapaian terbesar dalam hidup anda,” antara tulisannya itu.
Sanchez sebelum ini dikhabarkan mahu meninggalkan Arsenal musim panas ini kerana mahu ke City.
Perpindahannya ke City pada hari terakhir sebelum jendela perpindahan ditutup gagal selepas Arsenal gagal mendapatkan khidmat Thomas Lemar dari Monaco sebagai pengganti.
Sanchez terlibat dalam kekalahan 3-0 Chile ke atas Paraguay dalam kelayakan Piala Dunia, beberapa hari selepas Arsenal kalah 4-0 ke atas Liverpool.
Chile kini menduduki tempat keempat dalam kelayakan Piala Dunia Amerika Selatan. – MalaysiaGazette