KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia menyampaikan ucapan penghargaan terima kasih kepada Raja Salman Abdul Aziz As Saud atas kecemerlangan kerajaan Arab mengurus 2.35 juta jemaah dari seluruh dunia.
Ucapan penghargaan itu disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika kunjungannya ke Istana Raja Salman di Mina, kelmarin.
Menurut Dr. Asyraf Wajdi, amat luar biasa bagi kerajaan Arab Saudi mengurus pergerakan lautan manusian terbesar dalam tempoh lima hari untuk bergerak dari Makkah ke Mina, seterusnya ke Arafah dan Muzdalifah, sebelum berpatah balik ke Mina dan akhirnya ke Makkah.
“Kelmarin dalam pertemuan ringkas dengan Raja Salman di istana baginda di Mina, saya sempat menyampaikan ucapan penghargaan terima kasih bagi pihak Perdana Menteri, kerajaan Malaysia dan seluruh jemaah haji Malaysia atas kecemerlangan kerajaan Arab Saudi menguruskan kira-kira 2.35 juta jemaah haji dari seluruh dunia tahun ini.
“Sesungguhnya amat luar biasa untuk menguruskan pergerakan lautan manusia terbesar dalam tempoh lima hari ini,” katanya dalam status yang dimuatnaik menerusi akaun Facebook beliau, semalam.
Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi khususnya Raja Salman yang menerima baik permintaan Perdana Menteri untuk menaikkan jumlah peruntukan kuota jemaah haji Malaysia tahun ini.
Sebelum ini, katanya, rakyat Malaysia terpaksa menunggu sehingga tempoh 104 tahun untuk mengerjakan ibadah haji.
“Layanan istimewa Arab Saudi termasuk segala kemudahan perubatan percuma dan profesional di hospitalnya tidak kira sekronik mana sekalipun penyakit amat besar maknanya kepada jemaah haji Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette