Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bersama Isteri, Puan Sri Imran Ibrahim diarak menaiki kenderaan khas pada Majlis Perarakan Terakhir Beliau Sebagai Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur. foto MALAYSIA GAZETTE, 04 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Istiadat perbarisan perpisahan dan paluan berundur diadakan khas kepada Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bersara secara rasmi hari ini daripada jawatan Ketua Polis Negara (KPN).

Majlis itu diadakan di dataran kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol) di ibu negara.

Beliau yang tiba pada pukul 4 petang itu disambut Timbalan KPN, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan menaiki kenderaan istiadat Polis Di-Raja Malaysia untuk memeriksa perbarisan.

Turut hadir KPN baharu, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun.

Pada majlis itu, panji-panji utama dan kawalan kehormatan melakukan lintas hormat perbarisan yang diketuai Superintendan Mohammad Farid Fadzilah dengan dianggotai 87 pegawai kanan dan anggota pegawai rendah PDRM diikuti lintas hormat pesawat Pasukan Gerakan Udara dan aset-aset milik pasukan berkenaan.

Persembahan pancaragam PDRM diketuai Superintendan Mohd. Noor Firdauz Abdullah memainkan lagi Smooth Criminal nyanyian Micheal Jackson dengan anggota pancaragam menari aksi Moon Walk.

Turut didendangkan lagu You Raise Me Up nyanyian salah seorang seorang pegawai PDRM sebelum Khalid memberi tabik hormat.

Lagu itu turut mencetuskan emosi pada hadiran termasuk pegawai PDRM dan beberapa orang wartawan yang rapat dengan Khalid.

Selain itu, pasukan pencaragam PDRM memberi penghormatan kepada Khalid untuk memimpin lagu My Way. Sajak bertajuk Noktah Terakhir Perwira Bangsa turut dideklamasikan untuk Khalid.

Beliau bersama isteri, Puan Sri Imran Ibrahim menaiki kenderaan istiadat PDRM yang ditarik pegawai dan anggota polis sehingga ke balai pengawal Pulapol sebelum menandatangani buku pelawat.

Khalid berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia memulakan karier sebagai polis pada 1976.

Antara jawatan yang pernah disandangnya, termasuk Timbalan KPN, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ketua Pengurusan Kontijen Pahang selain menyandang jawatan Ketua Polis Negeri Sembilan dan Selangor.

Komitmen dan sumbangan beliau bersama pasukan polis terbukti apabila terlibat secara langsung dalam pelbagai misi khas, termasuk operasi pencarian pesawat MH17 di Ukraine pada 2014. – MalaysiaGazette