Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 1990-an akan memanggil bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai saksi esok.

Kerugian itu berlaku kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga mata wang asing pada 1990-an di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, sementara Anwar merupakan menteri kewangan ketika itu.

Antara saksi lain yang akan dipanggil adalah bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ahmad Mohd Don, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Hadenan Abdul Jalil dan Datuk Othman Jusoh.

Prosiding RCI memasuki hari ke enam esok dengan enam belas saksi sudah dipanggil memberikan kenyataan.

Mereka adalah bekas peguam negara, Tan Sri Ainum Mohamed Saaid; bekas pembantu khas kepada gabenor BNM, Liew Siew Kuan; bekas auditor di pejabat Ketua Audit Negara, P Kanason Pothinker; bekas penolong gabenor BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; bekas Pengurus Akaun BNM, Abdul Aziz Manaf; bekas penolong Gabenor, Datuk Abdul Murad Khalid; dan bekas Timbalan Gabenor BNM Tan Sri Lin See-Yan.

Malah bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz turut dipanggil.

Bagaimanapun, Mahathir masih belum dikenalpasti untuk dipanggil bagi memberikan keterangan mengenai kerugian itu.

RCI diketuai Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, yang dilantik sebagai Pengerusi suruhanjaya dan dianggotai Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md Said serta Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Atan.

Selain itu, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon; Ahli Institut Akauntan Malaysia, Ahli Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia dan bekas rakan kongsi firma Ernst & Young, K Pushpanathan.

Panel suruhanjaya menetapkan 10 hari bermula 21 Ogos bagi prosiding siasatan.

Pada 21 Jun lalu, Kabinet bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat kerugian AS$$10 bilion dalam tukaran mata wang asing Bank Negara Malaysia pada 1990-an. -MalaysiaGazette.