Saksi, bekas Peguam Negara, Tan Sri Ainum Mohamed Saaid hadir di Mahkamah Rayuan untuk memberi keterangan berkaitan prosiding siasatan kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia di Istana Kehakiman Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 06 SEPTEMBER 2017.

PUTRAJAYA – Prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 1990-an yang memasuki hari kelima diteruskan dengan memanggil saksi kelima belas, bekas Peguam Negara, Tan Sri Ainum Mohd Saaid.

Ketika memberikan kenyataan, Ainum berkata Pejabat Peguam Negara memaklumkan BNM tidak dibenarkan untuk melakukan urus niaga mata wang bersandarkan kepada Ordinan Bank Pusat.

Ia jelas Ainum, BNM tidak ada kuasa untuk melakukan sebarang urus niaga mata wang.

“Apa yang saya ingat, apa berlaku ialah kami diberikan beberapa peruntukan undang-undang, di bawah Ordinan Bank Pusat, di mana menyatakan BNM tidak boleh melakukan urus niaga.

“BNM tidak ada bidang kuasa melakukan sebarang urus niaga forex.” katanya.

Oleh itu Pejabat Peguam Negara tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan atau jawapan mengenai langkah itu kepada BNM.

Ini kerana Jabatan Peguam Negara hanya boleh memberikan nasihat undang-undang ekoran isu berkenaan memerlukan kepakaran dalan bidang kewangan selain tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan kata putus atas perkara berkenaan.

Dalam pada itu, Ainum berkata, beliau tahu akan kerugian yang dihadapi BNM ekoran urus niaga mata wang tersebut.

“Ya, dalam lingkungan RM9.4 bilion,” jawab Ainum kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md Said.

Kamaludin adalah salah seorang ahli panel RCI yang dipengerusikan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Terdahulu, Ainum memberikan keterangan bahawa beliau tidak ingat samada ada bekas auditor di Pejabat Ketua Audit Negara, P. Kanason Pothinker memberitahu beliau supaya jangan campur tangan dalam urusan terbabit.

“Saya tidak ingat ada kata ‘orang atasan cakap jangan campur tangan’,” katanya.

Dalam prosiding hari ketiga, Kanason memberitahu bahawa wujud ‘pihak atasan’ mengarahkannya tidak campur tangan dalam sebarang urusniaga tersebut.

Arahan itu katanya, dimaklum seorang wakil dari Pejabat Peguam Negara, Tan Sri Ainum Mohamed Saaid, ketika beliau meminta penjelasan mengenai Seksyen 31, Akta Bank Negara Malaysia 1958 berhubung urusniaga mata wang asing tersebut. – MalaysiaGazette.