TRX City Sdn. Bhd. (TRX City) telah membuat laporan polis berhubung pemindahan dana entiti itu berjumlah RM3 bilion kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tun Razak Exchange

KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melihat TRX sebagai lokasi menguntungkan dalam jangka panjang bagi perniagaan untuk berkembang disebabkan akses yang sangat baik dan jaringan kepada ekosistem rancak yang terdapat di pusat bandaraya dan seluruh Greater Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Mahmud berkata, TRX menawarkan prospek menarik bagi syarikat yang ingin memusatkan fungsi utama di satu lokasi dan memperkemas perkhidmatan sokongan global bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti.

“Dengan menubuhkannya di sini, syarikat boleh berada lebih dekat dengan rantaian bekalan yang mantap dan tenaga kerja matang. Mengambilkira nilai-nilai strategik yang ditawarkan, MIDA menjangkakan lebih banyak syarikat multinasional (MNC) dan konglomerat tempatan akan merebut peluang ini dan meningkatkan daya saing mereka dengan menubuhkan operasi mereka di TRX,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

MIDA dengan kerjasama TRX City hari ini menganjurkan lawatan oleh dewan-dewan perniagaan asing ke TRX, daerah kewangan antarabangsa di KL.

Program tertutup ini dihadiri oleh delegasi daripada pelbagai dewan perniagaan yang mewakili enam rakan perdagangan utama Malaysia: India, New Zealand, Perancis, Jepun, Australia dan Korea Selatan.

Lawatan ini adalah sebahagian daripada inisiatif MIDA untuk mengetengahkan peluang pelaburan dalam projek berimpak tinggi seperti TRX kepada komuniti perniagaan antarabangsa. – MalaysiaGazette