Mohamed Azmin menghadap Sultan Selangor hari ini untuk mendapat perkenan menubuhkan kerajaan negeri.
Mohamed Azmin menghadap Sultan Selangor hari ini untuk mendapat perkenan menubuhkan kerajaan negeri.

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) menggesa supaya Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali patuh dengan keputusan Pakatan Harapan (PH) dengan menghentikan sebarang rundingan dengan Pas.

Khalid Samad

Gesaan itu dinyatakan Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad menyifatkan gabungan pembangkang itu tidak boleh lagi membuat keputusan bercanggah kerana ia memberikan kesan tidak baik kepada mereka.

“Selagi Azmin tidak berikan kami satu penghujahan dan penjelasan yang boleh meyakinkan kami bahawa keputusan itu (berunding dengan Pas) adalah sesuatu yang perlu diteruskan, kita juga berhak mempunyai pandangan masing-masing.

“Bagaimanapun, itu hak Azmin hendak beri pandangan (berunding dengan Pas) sedemikian. Pakatan Harapan sudah buat keputusan dan ia muktamad,” Khalid dipetik berkata.

Khalid mengulas mengenai tindakan Mohamed Azmin sebelum ini yang berunding dengan Pas tanpa pengetahuan parti komponen PH lain sehingga menimbulkan kecaman terhadap beliau.

“Kita sudah berbahas dan berbincang hampir tiga jam, saya rasa wajarlah Azmin terima pandangan rakan-rakan yang lain,” ujarnya.

Majlis Presiden PH sebelum ini mengekalkan pendirian tidak akan bekerjasama dengan Pas untuk melawan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Terdahulu, terdapat usaha daripada PKR untuk berbincang dan memujuk Pas bagi mewujudkan kerjasama politik menjelang PRU14.

Mohamed Azmin, bagaimanapun berkata, usaha dan perbincangan tersebut merupakan inisiatif daripada PKR dan bukannya atas kapasiti PH atau komponen lain.

Pas juga menegaskan parti itu tidak akan menyertai PH sebaliknya sedang memperkasakan blok pembangkang ketiga bagi menghadapi PRU14.- MalaysiaGazette