IMBAS SEMULA. Salah seorang saksi, bekas penasihat dan pengarah Jabatan Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop tiba di Mahkamah Rayuan untuk memberi keterangan berkaitan prosiding siasatan kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia di Istana Kehakiman Putrajaya. pada 6 September 2017.foto HAZROL ZAINAL.

PUTRAJAYA – Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop memberitahu panel lima ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bahawa beliau tidak memaklumkan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai urus niaga mata wang asing yang dijalankan BNM.

Jelas beliau, tiada penjelasan malah beliau juga tidak pernah memaklumkan serta berbincang dengan dua Menteri Kewangan pada tahun 1986 hingga 1993.

“Saya tidak pada bila-bila masa pada tahun 1986 hingga 1993 berbincang dengan Menteri Kewangan (Tun Daim dan Anwar) mengenai urus niaga forex yang dijalankan oleh BNM.

“Saya tidak pada bila-bila masa pada tahun 1986 hingga 1993 berbincang dengan Perdana Menteri (Dr Mahathir) mengenai urus niaga forex yang dijalankan oleh BNM,” katanya yang menjadi saksi ke 17 hari ini.

Bekas menteri itu berkata, beliau sering memberi laporan kepada Gabenor BNM ketika itu, Tan Sri Jaffar Hussein mengenai setiap aktiviti perdagangan mata wang asing itu.

“Saya tidak bersetuju yang semua laporan berkaitan mata wang asing hanya dilaporkan kepada saya. Saya tidak bersetuju yang saya hanya melapor kepada (Tan Sri) Jaffar Hussein.

“Saya tidak ingat had pada dagangan mata wang asing yang ditetapkan kepada saya. Saya tidak ingat keuntungan dan kerugian yang dialami forex,” katanya.

Saksi sebelum ini, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kasim dalam sesi keterangan RCI memberitahu bahawa urus niaga mata wang asing oleh BNM adalah arahan daripada Nor Mohamed.

Malah katanya, Lembaga Pengarah BNM tahu akan urus niaga itu selepas meneliti laporan audit dalaman. – MalaysiaGazette

Comments are closed.