KUALA LUMPUR – Malaysia dan negara serantau perlu menjadikan China sebagai contoh usaha menyaring kemasukan budaya luar menerusi internet.
Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Rais Yatim berkata, negara berkenaan mengawal internet demi menentukan kelangsungan perkembangan budaya, kesenian dan bahasa mereka sendiri.
“Ia perlu dilihat dalam perspektif yang lebih besar agar daya cipta rantau nusantara ini dapat di sebarluaskan ke seluruh pelusuk dunia.
“Perkembangan dari segi ekonomi akan bergerak seiring melalui bahasa dan kebudayaan,” ujarnya dalam ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Kebudayaan, Kesenian dan Kemanusiaan(ICCAH) di Universitas Andalas, Indonesia hari ini.
Rais yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu menegaskan, melalui media sosial yang dicipta oleh pihak Barat, ia memberi kesan yang kuat dalam kehidupan seharian penggunanya.
“Persoalannya ialah bagaimana kita untuk mengekalkan keseimbangan akibat asakan perubahan global yang berlaku dari Barat ini,” tanyanya.
Oleh itu masyarakat serantau dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura perlu mengambil peluang yang di cipta oleh pihak Barat untuk untuk menjadikan kebudayaan dan kesenian ini di sebarkan melalui aplikasi-aplikasi seperti facebook, whatapps dan sebagainya, katanya.
Selain itu, Rais berkata, masyarakat Nusantara kini harus sepakat dan meletakkan perbezaan sesama mereka demi untuk mengharungi arus perubahan global.
“Jika tidak, kesan daripadanya akan bakal menghakis identiti serumpun di samping menjadikan rantau ini semakin mengecil dari segi kebudayaan, kesenian dan kemanusiaan,” ujarnya lagi.
Katanya, masyarakat di rantau Nusantara harus sepakat dan peka tentang pengaruh dan akibat globalisasi kerana unsur Barat turut menyerap ke dalam jati diri dan akar umbi budaya sendiri.
“Kita dapat melihat bagaimana pengaruh Barat semakin lama menghakis budaya, kesenian, bahasa, cara berfikir dan sosial kemanusiaan. Oleh itu, kita perlu sedar agar kebudayaan kita tidak di hakis oleh desakan dan perubahan global yang berlaku sekarang ini, apa yang dirisaukan adalah generasi akan datang lupa tentang adatnya, asal usulnya, bahasanya serta budaya,” ujarnya.
Menurutnya, perubahan global yang berlaku memberi kesan kepada budaya, bahasa, seni dan tingkah laku kemanusiaan serta cara hidup.
“Cabaran utama adalah bagaimana untuk mengekalkan jati diri serta budaya Timur yang kini semakin di pinggirkan melalui budaya barat. Kesannya dapat dilihat bagaimana media sosial kini menjadi senjata atau mendominasi aturan cara kehidupan seharian,” katanya.- MalaysiaGazette