Home Nasional Hospital kerajaan Malaysia terbaik – Perdim

Hospital kerajaan Malaysia terbaik – Perdim

KUALA LUMPUR – Hospital-hospital kerajaan telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang terbaik dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat dan pelancong asing selama ini.

Lantaran itu, adalah tidak wajar mana-mana pihak membuat tuduhan melulu kepada hospital-hospital kerajaan.

Sehubungan itu, Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) mengucapkan syabas kepada Kementerian Kesihatan yang berjaya melakukan perkhidmatan terbaik dan menangani isu kematian warga Singapura, Justinian Tan dengan cara baik.

“Kementerian Kesihatan Malaysia telah memberi rawatan yang terbaik.

“Bermula dengan kedatangan ambulans hingga rawatan di jabatan kecemasan, pihak hospital telah mematuhi standard dan prosedur kesihatan dengan profesional,” kata Presiden Perdim, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail.

Beliau mengulas tentang isu seorang rakyat Singapura yang mendakwa rakannya, Justinian Tan yang menjadi mangsa langgar lari meninggal dunia kerana Hospital Sultanah Aminah melengahkan memberi rawatan jika tidak menjelaskan bayaran.

Kenyataan itu dilaporkan oleh media portal The Independent SG (theindependent.sg) menulis kisah pengalaman rakan mangsa semasa berdepan insiden tersebut.

Semasa kejadian, mangsa bersama lima rakannya datang ke Johor Bahru untuk makan malam.

Bagaimanapun, perkara itu disanggah oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah yang menyifatkan dakwaan itu tidak benar dan menyifatkan ia satu tuduhan yang tidak berasas.

Malah, Kementerian Kesihatan juga menghantar surat bantahan kepada Singapura dan akhirnya media berkenaan membuat permohonan maaf. – MalaysiaGazette