Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Saksi ke 21, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) atas urus niaga mata wang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mahu bekas penolong gabenor bank itu, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dipecat.

Ia berdasarkan kepada perjumpaan antara beliau dengan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Jaafar Hussein yang memberi penjelasan sebelum Jaafar meletakkan jawatan.

“Penjelasan terakhir yang sangat tepat kerana mengesahkan Nor Mohamed Yakcop telah melebihi mandat yang diberikan…tidak memberi laporan yang benar kepada dia (Jaafar).

“Saya arah supaya Nor Mohamed Yakcop dipecat, kalau boleh jam empat petang (pada ketika perjumpaan itu),” katanya ketika memberikan kenyataan kepada ahli lima panel RCI.

Malah Nor Mohamed juga pada pandangan Anwar tidak memberikan laporan yang tepat berhubung kerugian urus niaga mata wang asing yang dialami oleh BNM.

Menurut Anwar, perkara itu diketahui beliau selepas dimaklumkan sendiri oleh Jaafar yang berjumpa dengannya sebelum mengadakan lawatan ke Hawaii pada 1994.

Nor Mohamed Yakcop semalam dalam kenyataannya kepada RCI mengaku sebagai individu yang bertanggungjawab bagi segala urusan pengendalian urus niaga mata wang asing yang dijalankan BNM.

Bekas menteri itu berkata beliau memikul tanggungjawab itu sejak 1986. -MalaysiaGazette.