Saksi, Pengarah Jabatan Pentadbiran Pertukaran Wang Asing Bank Negara Malaysia, Azman Mat Ali hadir di Mahkamah Rayuan untuk memberi keterangan berkaitan prosiding siasatan kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia di Istana Kehakiman Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 07 SEPTEMBER 2017.

PUTRAJAYA – Saksi ke 18 yang dipanggil Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Forex, Pengarah Jabatan Pentadbiran Pertukaran Wang asing Bank Negara Malaysia (BNM), Azman Mat Ali memberitahu bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak pernah menyaksikan sebarang transaksi berkaitan urus niaga mata wang asing yang dijalankan.

Beliau menjawab pertanyaan peguam Mahathir, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dalam prosiding yang masuk hari ke enam hari ini.

Hanif bertanya kepada Azman sama ada anak guamnya berada dengan Azman semasa transaksi dibuat.

“Tidak sama sekali”, Mahathir tidak pernah ada di pejabat (semasa transaksi dibuat),” jawab Azman kepada ima panel RCI Forex.

Hanif membuat pertanyaan sedemikian setelah Azman disoal oleh ahli panel RCI, Tan Sri Saw Choo Boon.

Azman dalam jawapan kepada Choo Boon pula berkata, Mahathir  tidak pernah sekali pun menjejakkan kaki ke bilik urus niaga mata wang asing di BNM.

“Saya tidak ingat apa-apa kunjungan,” jawab Azman lagi.

Azman sebelum itu memberitahu, ahli panel RCI bahawa beliau adalah individu yang mengikut arahan ketua pedagang dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop selaku bekas Penolong Gabenor BNM.

Menurut Azman, dalam satu transaksi yang pernah dibuat oleh beliau, ia boleh mencecah berbilion dolar Amerika Syarikat (AS).

Nor Mohamed Yakcop semalam dalam kenyataannya kepada RCI mengaku sebagai individu yang bertanggungjawab bagi segala urusan pengendalian urus niaga mata wang asing yang dijalankan BNM.

Bekas menteri itu berkata beliau memikul tanggungjawab itu sejak tahun 1986.- MalaysiaGazette.