Mahkamah Majistret Kuala Selangor

KUALA SELANGOR – Pemandu Toyota Hilux yang didakwa terlibat dalam kemalangan membabitkan empat atlet para berbasikal negara termasuk seorang jurulatih di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) semalam didakwa di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi.

Tertuduh, Anuar Wahab, 46, yang merupakan seorang peniaga makanan bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Abdul Jalil Salam, lapor sebuah laman portal.

Terdahulu, tertuduh yang memakai baju-T berkolar tiba di mahkamah pukul 11.05 pagi.

Mengikut pertuduhan, Anuar didakwa memandu sebuah Toyota Hilux dengan merbahaya kepada orang awam sehingga mengakibatkan kemalangan jalan raya di Kilometer 12.5 Lebuh Raya Latar di sini, pukul 10.45 pagi semalam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM15,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mahmoodah V. M. Abdul Latif yang mengendalikan kes memohon mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000.

Peguam M. Saravanan yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM2,000 memandangkan anak guamnya daripada keluarga kurang berkemampuan. Kes disebut semula 16 Oktober ini. – MalaysiaGazette

 

Dua pelumba basikal negara cedera kes langgar lari