Home Dunia Korban gempa bumi Mexico 58 orang

Korban gempa bumi Mexico 58 orang

Sebuah bangunan mengalami kerosakan teruk selepas gempa bumi dengan 8.1 magnitud melanda Mexico. foto Agensi

MEXICO – Angka korban gempa bumi di perairan selatan Mexico meningkat kepada 58 orang.

Bantuan dan operasi menyelamat secara besar-besaran sedang bergerak ke Tabasco, Oaxaca dan Chiapas, yang mana kebanyakan penduduk dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Presiden Enrique Pena Nieto berkata, sekurang-kurangnya 200 orang mengalami kecederaan dalam bencana alam itu.

Gempa bumi dengan 8.1 magnitud dikatakan gempa terkuat pernah direkodkan berlaku di rantau itu.

“Jawatankuasa Kecemasan Kebangsaan melaporkan sejumlah 58 kematian sejak 7 September akibat gempa bumi itu,” kata pengarah agensinya, Luis Felipe Puente menerusi Twitter.

Sejumlah 45 kematian dilaporkan berlaku di Oaxaca, 10 di Chiapas dan tiga di Tabasco.

Salah satu bandar yang paling teruk dilanda gempa bumi itu ialah di Oaxaca, sekurang-kurangnya 17 kematian dengan kebanyakan bangunan runtuh atau mengalami kerosakan teruk.

“Situasi di Juchitan adalah kritikal, paling tragis dalam sejarah,” kata Datuk Bandar Gloria Sanchez. – MalaysiaGazette