Home Ekonomi Pulang dengan Ijazah Kelas Pertama, pesan Abdul Wahid

Pulang dengan Ijazah Kelas Pertama, pesan Abdul Wahid

Abdul Wahid Omar dan Ketua Eksekutif PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad bersama para penuntut tajaan PNB yang akan berlepas ke luar negara bagi menyambung pengajian masing-masing.

KUALA LUMPUR – Seramai 22 orang penuntut tajaan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang bakal berlepas untuk melanjutkan pendidikan ke luar negara tidak lama lagi diharap dapat pulang dengan Ijazah Kelas Pertama atau sekurang-kurangnya Kelas Kedua Atas.

Harapan itu dibuat oleh Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar yang mahu kesemua pelajar berkenaan fokus kepada terhadap pembelajaran sepanjang berada di luar negara.

“Dengan latar belakang pendidikan yang cemerlang, ditambah dengan taraf pengajian berkualiti di universiti yang bakal diduduki, saya yakin para pelajar mampu untuk meneruskan kejayaan yang pernah dicapai sebelum ini.

“Pada waktu yang sama, saya mahu para pelajar mengenali budaya dan bergaul dengan masyarakat tempatan dan responsif dengan suasana ekonomi dan teknologi negara yang diduduki,” katanya dalam satu majlis meraikan para pelajar tersebut.

Beliau turut mahu para pelajar terbabit terus berpegang kepada jati diri sebagai warga Malaysia yang beragama Islam dan tidak lupa pada ibu bapa masing-masing.

Daripada 22 orang penuntut itu, seramai 17 orang akan melanjutkan pelajaran di United Kingdom seawal pertengahan bulan September ini di University College London, City University London dan University of Warwick manakala selebihnya akan melanjutkan pelajaran di Australia.

PNB telah memperkenalkan Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB sejak 1996 dan telah menganugerahkan biasiswa kepada 344 orang pelajar.

Pada masa ini, seramai 29 masih menuntut di United Kingdom, 6 di Australia dan 52 lagi sedang mengikuti program persediaan di dalam negara.

Seramai 22 penuntut yang mendapat tajaan Program Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB.Setakat ini, seramai 160 orang pemegang biasiswa PNB telah menamatkan pengajian mereka di peringkat sarjana muda dan kini sedang berkhidmat di PNB memegang pelbagai jawatan di pelbagai jabatan.

Program biasiswa itu merupakan Rangka Kerja Tanggungjawab Sosial Korporat PNB yang menumpukan kepada empat cabang utama iaitu pendidikan, kebolehpasaran kerja, celik
kewangan dan pembinaan rumah mampu milik.

Seramai 22 orang penuntut itu adalah dari Kumpulan ke-19 bagi pengambilan tahun 2015 dan telah pun menamatkan program persediaan selama 2 tahun di Kolej Yayasan UEM dan di Kolej
Yayasan Saad International School. – MalaysiaGazette