
BEIJING – Tidak tahan menanggung sakit bersalin selama berjam-jam dan permintaannya untuk dibedah ditolak, akhirnya seorang wanita nekad terjun dari tingkap tingkat lima di utara China.
Wanita itu yang dikenali sebagai Ma Rongrong disahkan meninggal dunia.
Keluarga Ma dan doktor dipersalahkan kerana enggan melakukan pembedahan ke atas wanita itu bagi mengurangkan kesakitannya.
Tragedi itu menarik perhatian warga China yang mempersoalkan mengapa Ma telah dinafikan untuk menjalani prosedur berkenaan.
Bagaimanapun, tiada jawapan yang jelas, tetapi kejadian itu mencetuskan perbincangan awam berhubung kos kesihatan yang tinggi dan hak pesakit terhadap bahaya nilai keluarga tradisional China.
Kisah itu menjadi perbualan selepas rakaman keselamatan yang menunjukkan Ma melutut di depan keluarganya di koridor hospital menjadi viral.
Hospital berkenaan berkata, ia telah mencadangkan agar Ma menjalani prosedur tetapi suaminya mahukan kelahiran normal kerana percaya ia baik untuk anak mereka.
Sebagai bukti, hospital itu mendedahkan buku log penbedahan Ma yang menunjukkan keluarganya enggan memenuhi kemahuan wanita itu.
Ma telah menandatangani kebenaran memberi suaminya hak untuk membuat keputusan perubatan bagi pihaknya, kata hospital itu, sambil menambah hospital tidak mempunyai hak untuk mengubah kaedah prosedur tanpa persetujuannya.
Tetapi suami Ma, Yan Zhuangzhuang, memberitahu Beijing Youth Daily bahawa dia telah bersetuju dengan pembedahan isterinya tetapi doktor yang mengatakan ia tidak perlu. – MalaysiaGazette















